KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sebanyak 10 syarikat Malaysia akan menyertai InnoTrans 2024, pameran perdagangan industri pengangkutan rel terkemuka dunia di Berlin, Jerman, dari 24-27 Sept 2024.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata mereka akan mempamerkan pencapaian dalam teknologi rel, kemampanan dan kerjasama industri di pavilion Malaysia, yang dianjurkan agensi promosi perdagangan negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pecutan Eksport MATRADE Abu Bakar Yusof menyeru agar lebih banyak syarikat Malaysia menyertai acara itu.

Beliau berkata agensi berkenaan sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat rel utama Eropah untuk meneroka peluang syarikat dari Malaysia mengambil bahagian dalam rantaian bekalan mereka yang luas.

“Langkah ini selaras dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), iaitu untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi negara dengan memperkukuh daya saing industri rel Malaysia melalui peralihan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya.

Acara itu juga akan menghimpunkan pemimpin industri, inovator dan pihak berkepentingan untuk meneroka trend dan perkembangan terkini dalam pengangkutan rel, kata Abu Bakar.

“Kita mempunyai sejumlah besar syarikat pembinaan awam berprestasi yang baik dalam industri rel, sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara.

“Ini termasuk di Thailand dan Taiwan, dengan syarikat kereta api kita telah bertapak kukuh dalam  membina stesen kereta api, jambatan, landasan, talian penghantaran bawah tanah dan infrastruktur lain,” katanya.

Menurut MATRADE, pada separuh pertama 2024, eksport rel Malaysia terus mengukuh, meningkat sebanyak 43.8 peratus kepada RM320.1 juta daripada RM222.6 juta pada separuh pertama 2023.

Di samping usahanya untuk meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan rel ke Jerman, agensi itu juga berharap dapat meningkatkan eksport kepakaran rel Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).

Ia berkata EU ialah destinasi eksport kelima terbesar Malaysia untuk produk dan perkhidmatan rel, selepas Singapura, Taiwan, China dan Amerika Syarikat.

“Pada 2023, eksport rel ke EU meningkat 82.5 peratus kepada RM12.3 juta, meningkat daripada RM6.7 juta pada 2022.

“Dalam tempoh itu, eksport rel Malaysia ke EU adalah terutamanya kontena kargo, bahagian rolling-stock dan peranti isyarat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here