Presiden China Xi Jinping bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU) Moussa Faki Mahamat yang berada di Beijing untuk menghadiri sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC), pada Selasa.

Xi berkata China berhasrat mengambil peluang daripada sidang kemuncak FOCAC kali ini untuk mendorong kerjasama dengan AU membuahkan lebih banyak hasil dan memantapkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Afrika.

Beliau menegaskan bahawa Afrika merupakan satu pusat kuasa yang penting di dunia serta keutamaan dalam diplomasi China. 

China bersedia merapatkan pertukaran politik dengan Afrika, di samping memperdalam kesalingpercayaan strategik, memperkasa kerjasama pragmatik dan berkongsi pengalaman pembangunan demi mencapai kemajuan bersama.

China juga komited mengeratkan kolaborasi dengan Afrika, teguh menyokong satu sama lain sambil menegakkan multipolarisasi dunia yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang inklusif dan menguntungkan semua.

Sementara itu, Faki berkata pihaknya berpegang teguh pada dasar satu China dan tegas menyokong China dalam memelihara kepentingan teras sendiri.

Beliau melihat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan Presiden Xi sebagai komitmen ke arah membolehkan rakyat semua negara menikmati kedamaian serta peluang pembangunan.

Menurut beliau, hal ini sangat signifikan bagi memperkasa solidariti dan kolaborasi antara negara-negara Selatan Global sekali gus mendorong sistem tadbir urus global ke arah lebih adil dan munasabah.

AU berharap China terus memainkan peranan sebagai peneraju untuk menyumbang kepada pemodenan Afrika serta kedamaian dan pembangunan dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here