KLUANG, 22 Sept — Kerajaan sedia meneliti pendekatan Rumah Transit Bangsa Johor untuk diperluas ke negeri lain bagi membantu rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan atau keluarga muda memiliki kediaman sendiri. 

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, hanya kerajaan Johor yang memberikan kemudahan menyewa rumah dengan sebahagian daripada harga sewa menjadi tabungan untuk pembayaran deposit rumah seterusnya.

“Rumah ini dikategorikan kepada beberapa sektor bagi mereka yang kurang berkemampuan, dengan sewaan yang munasabah dan 30 peratus daripada jumlah sewaan akan dipulangkan bagi keluarga muda itu membeli rumah, selepas tempoh sewaan tamat.

“Jika ada cadangan untuk membawa perkara ini kepada Kabinet, pasti akan mendapat dukungan saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Merealisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid berkata pendekatan oleh kerajaan Johor itu dapat menyantuni keperluan memliki rumah khususnya kepada golongan muda yang baru memulakan keluarga kerana kuasa beli mereka masih terbatas.

Justeru, beliau melihat kaedah penyimpanan wang sewaan itu sebagai pendekatan diperlukan golongan muda di negara ini dan sesuai dijadikan panduan oleh negeri lain, terutamanya yang melibatkan perumahan di kawasan bandar serta pinggir bandar.

Tahun lepas, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri melancarkan Rumah Transit Bangsa Johor yang berbeza daripada konsep Rent-to-Own atau Sewa-untuk-Beli sebagai satu daripada inisiatif membantu rakyat di negeri ini. 

Penyewa Rumah Transit Bangsa Johor akan membayar sewa RM650 yang dipecahkan kepada RM455 sebagai bayaran sewa manakala RM195 sebagai tabungan yang membolehkan mereka mempunyai simpanan lebih RM11,000 dalam tempoh lima tahun. 

Pada perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata pembangunan yang baik dan rancak di Kluang menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya daerah ini, yang terletak di Johor tengah dipinggirkan kerana pembangunan tertumpu di Johor Bharu di selatan dan kawasan utara iaitu Muar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here