UTARA SINAI, 8 Okt – Landasan kereta api sepanjang 100 kilometer di Utara Sinai, Mesir memulakan operasi percubaan pada Isnin, sekali gus menandakan pemulihan perkhidmatan kereta api di rantau ini buat kali pertama selepas lebih setengah abad.

Landasan Al-Fardan-Bir al-Abd yang kini dilengkapi stesen yang dinaik taraf, merupakan fasa pertama dalam projek yang lebih besar untuk memodenkan dan mengembangkana rangkaian kereta api di Semenanjung Sinai.

Kementerian Pengangkutan dan Industri Mesir turut merancang untuk memperluaskan laluan ini sejauh 500 kilometer, menghubungkan Al-Fardan ke Taba.

“Pengoperasian laluan ini akan memudahkan pergerakan orang dan barangan dari Sinai ke wilayah lain, merangsang pembangunan komuniti bandar baharu dan zon industri, serta menyokong projek ekonomi di utara Sinai,” kata Menteri Pengangkutan dan Industri Mesir, Kamel al-Wazir, semasa upacara perasmian.

Pemulihan perkhidmatan kereta api ini dilihat sebagai langkah penting dalam strategi kerajaan untuk merangsang pembangunan di Sinai, wilayah yang sekian lama menghadapi isu-isu keselamatan dan pengasingan.

“Kereta api ini akan menghubungkan bandar, pekan, dan kampung di seluruh utara Sinai, memberikan dorongan kepada usaha pembangunan di rantau ini,” kata Abdel-Hamid al-Akhrasy, seorang pemimpin suku kaum di utara Sinai.

Perkhidmatan kereta api di Sinai sebahagian besarnya terhenti selepas Perang Arab-Israel 1973 akibat konflik dan operasi ketenteraan di kawasan terbabit.

Mesir sedang giat meningkatkan infrastruktur pengangkutannya sebagai sebahagian daripada program reformasi ekonomi yang lebih luas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here