PUTRAJAYA, 13 Okt- Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bil.1/2024 hari ini bersetuju menubuhkan lima jawatankuasa kecil bagi menyelaras gerak kerja pembangunan kesihatan di negeri berkenaan.

Ia merangkumi Jawatankuasa Autonomi Kesihatan Sabah, Jawatankuasa Pembangunan Fasiliti Kesihatan Sabah, Jawatankuasa Pemerkasaan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan Sabah, Jawatankuasa Perjawatan dan Petugas Kesihatan Sabah serta Jawatankuasa Kewangan Kesihatan Sabah.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu, yang berlangsung di Kota Kinabalu, dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Menteri ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

“Mesyuarat yang julung kali diadakan bersama Kerajaan Sabah ini telah membincangkan isu-isu kesihatan Sabah, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan KKM komited untuk menyelesaikan isu berkaitan secara baik dan tuntas,” menurut KKM yang menambah kesemua jawatankuasa akan diselaras menerusi rundingan berterusan dengan Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan keperluan semasa.

Menerusi kenyataan sama, Dzulkefly berkata pembangunan kesihatan harus mapan dan mampan bagi menjamin kesaksamaan akses rakyat kepada kesihatan yang holistik, mudah diakses serta meningkatkan natijah kesihatan untuk semua selaras dengan prinsip di bawah gagasan besar Malaysia MADANI.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Suriani Ahmad, Peguam Besar Sabah Datuk Brenndon Keith Soh dan pimpinan kerajaan negeri yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here