KUALA LUMPUR, 21 Okt – Kementerian Komunikasi memilih Kampung Tebat Kering di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai kampung angkatnya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan memastikan pelbagai aspek berkaitan keperluan komuniti di kampung itu terbela.

“Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim minta bukan sekadar aspek fizikal tetapi juga melihat kepada aspek komuniti dan isu-isu, sebagai contoh kenapa ramai tidak lepas (peperiksaan) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau tidak hadir (untuk menduduki) SPM, atau mungkin masalah pengangguran.

“PM minta kita luangkan lebih masa dan berpijak di bumi yang nyata. Beliau tidak mahu menteri atau pegawai atasan seolah-olah berada di awangan. Perlu fahami masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Fiesta Deepavali di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Pada 8 Mei lepas, Fahmi dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet berkata semua menteri diminta mengambil kampung angkat selaras saranan Perdana Menteri agar setiap pemimpin di negara ini menjaga sebuah kampung.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata usaha ini bertujuan menyelami isu setempat dan menyelesaikan seberapa banyak masalah yang dihadapi penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here