KUALA LUMPUR, 1 Nov — Penggunaan kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam pembelajaran jika pelajar tidak meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal untuk menimba ilmu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehubungan itu pelajar tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada AI, sebaliknya menjadikan ia sebagai kekuatan baharu untuk membantu menambah ilmu yang dipelajari.

“Anda boleh bergantung (pada AI). Cuma jangan tinggalkan yang asas. Anda perlu membaca, belajar dan berfikiran kritis baru boleh memanfaatkan AI dengan sebaiknya. Kebergantungan keterlaluan kepada AI (menyebabkan) kita tak baca lagi dah (buku) dan (cari) semua jawapan di Google. Tapi di Google itu jawapannya (secara) rumusan dan ringkasan.

“Yang tidak kita lakukan adalah membaca. Membaca itu adalah apabila kita menelaah buku, lihat daripada keseluruhan pemikiran, kita tidak ambil (hanya) satu cebisan (ilmu),” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Menurut perdana menteri lagi, selain mengambil kira maklumat atau kandungan yang dikeluarkan oleh AI, konteks kepada output itu juga memainkan peranan yang penting.

Sehubungan itu, beliau berkata walaupun kandungan yang dikeluarkan oleh AI itu tepat, namun tidak bermakna konteks kepada maklumat itu juga bertepatan.

“Bukan bermakna maklumat (daripada AI itu tidak betul tetapi konteks juga kadang-kadang tidak betul. Dalam apa-apa pun, termasuk belajar al-Quran ada teks (kandungan) dan konteks, ada ayat, tafsir dan takwil. Itu daripada awal kita dilatih untuk apa yang disebut sebagai terjemahan and tafsiran,” katanya.

Selain itu, Anwar turut menyentuh mengenai ketaasuban sesetengah individu terhadap penggunaan peranti, yang menurut beliau hal itu bukan masalah baharu sebaliknya telah dikenal pasti sejak 1980-an dengan kehadiran komputer.

Jelasnya kebergantungan kepada peranti tidak dapat menggantikan nilai kemanusiaan dan hubungan sesama ibu, bapa, keluarga dan sahabat yang terkesan akibat ketaasuban menggunakan alat itu.

“Pemikir-pemikir masa itu (1980-an) dalam bidang pendidikan sudah beri amaran, bimbang anak muda hanya tergantung kepada peranti (gadget) dan meninggalkan budaya membaca,” katanya.

Sementara itu, Zambry dalam majlis sama berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil pendekatan untuk melaksanakan AI di seluruh universiti dengan memulakannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau berkata pendekatan itu bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam mempelajari teknologi berkenaan dalam pengajian mereka.

“Cuma yang menjadi persoalan bagaimana kita mahu mewujudkan pembelajaran bermakna (deep learning), kerana ada dua kemungkinan. Apabila kita menggunakan AI ini, kita akan akan melaksanakan pembelajaran bermakna. 

“Tetapi kita ada satu yang bahaya, iaitu deep fake (teknologi pemalsuan video, suara, imej) . Kita ingat benda itu betul tapi sebenarnya tidak betul. Inilah cabaran dunia pendidikan (dan kita sedang buat) persiapan di peringkat KPT,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here