KUALA LUMPUR, 5 Nov – Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini berkata draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.
“Pada 31 Okt lepas Malaysia telah menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB,” katanya.
Ia juga termasuk agensi-agensi di bawah PBB, organisasi-organisasi antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), yang dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan Palestin untuk manfaat orang awam Palestin di wilayah itu.
Beliau berkata setelah diluluskan kelak, resolusi itu dijangka menjadi landasan perundangan bagi membolehkan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) terus memberikan khidmat asas seperti pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, yang telah memberikan faedah kepada lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Anwar berkata selama 75 tahun, UNRWA merupakan tali hayat utama penyaluran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin dan peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia dengan bantuan, kerjasama dan penyelarasan akan terus ditingkatkan.
“Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA ini agak kritikal dan kita juga mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini yang dizahirkan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dalam sidang PBB lepas dan memohon kerjasama ini dapat ditingkatkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata sudah setahun Israel melaksanakan genosid di bumi Gaza dan sehingga 1 Nov lepas, konflik di wilayah itu telah mengorbankan 43,204 rakyat Palestin, termasuk 16,500 kanak-kanak.
“Seramai 101,641 rakyat Palestin pula dilaporkan cedera, manakala 11,000 orang lagi dilaporkan hilang. Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023.
“Situasi di Gaza malangnya terus meruncing dan seperti mana saya tegaskan kerana keganasan itu tanpa henti with impunity, dengan izin, dan dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel,” katanya.