IPOH, 14 Julai  — Berita baik menanti rakyat Perak apabila lebih ramai akan menerima vaksin sebaik sahaja bekalan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba seperti dijadualkan minggu depan, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad. 

Beliau berkata pihaknya yakin jumlah penerima akan bertambah dan bilangan dos vaksin juga akan mencukupi bagi semua rakyat Perak sebaik bekalan baharu itu tiba.

“Penerimaan vaksin ikut jadual seperti yang ditetapkan sebelum ini. Untuk minggu berikutnya (depan), jika MOSTI akan membekalkan vaksin sepertimana yang telah dijadualkan, maka kita akan menambah bilangan penerima vaksin,” katanya dalam sidang media maya di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, Saarani dilapor berkata negeri itu boleh melakukan sebanyak 25,000 hingga 30,000 suntikan sehari selepas menerima 688,000 dos vaksin, bulan ini.

Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta.

Pejabat Menteri Besar memaklumkan sehingga kini, seramai 508,667 orang telah menerima dos pertama (27.31 peratus) dan seramai 282,729 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin (15.18 peratus).

Saarani berkata kerajaan negeri sedang berusaha untuk menambah bilangan penerima vaksin mencecah 40 peratus dalam masa terdekat supaya negeri ini boleh beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih cepat menerusi peningkatan kadar suntikan vaksin COVID-19.

“Perak ketika ini berada di Fasa 2 PPN dan sedang berusaha ke Fasa 3 jadi kita mesti kurangkan bilangan yang dijangkiti tidak melebihi 156 pesakit dalam sehari. Kita juga hendaklah mengurangkan kadar bilangan katil ICU (unit rawatan rapi) dan menambah bilangan penerima vaksin di Perak untuk mencecah 40 peratus,” jelasnya.

Ditanya sama ada berlaku penutupan PPV, Saarani berkata ia adalah bersifat sementara bagi memberi ruang dan peluang kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan berehat. 

“Kita tutup bagi memberi ruang kepada petugas berehat untuk memberi motivasi dan momentum kepada  petugas meneruskan tugasan mereka memandangkan waktu bertugas vaksin yang masih panjang,” katanya yang tidak mendedahkan jumlah PPV yang ditutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here