GEORGE TOWN, 11 Sept — Kementerian Kesihatan (KKM) akan membina hospital medan di tapak parkir Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang kian meningkat di negeri ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pasukan KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melawat tapak hospital medan itu dan pembinaannya dijangka mengambil masa seminggu.

Beliau berkata hospital medan itu akan menyediakan lebih 100 katil pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan pengumuman lanjut mengenai tarikh bermula kerja pembinaan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Ia (hospital medan) akan bermula secepat mungkin dengan dilengkapi wad Unit Rawatan Rapi (ICU) serta keperluan lain bagi merawat pesakit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di HPP dan tapak hospital medan itu hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma’arof Sudin.

Selain itu, Khairy berkata beliau akan berunding dengan hospital-hospital swasta di Pulau Pinang agar dapat menyewakan dewan pembedahan mereka bagi membolehkan doktor bedah di HPP melakukan pembedahan bagi kes-kes membabitkan pembedahan berisiko tinggi dan kritikal.

Beliau berkata ketika ini pihaknya menghadapi keperluan mendesak di HPP berkenaan kes-kes pembedahan perlu dibuat segera yang kritikal berikutan beberapa dewan pembedahan di HPP diubahsuai untuk merawat pesakit COVID-19 sehingga menyebabkan kapasiti untuk melakukan pembedahan agar terhad.

“Doktor dan pakar pembedahan di HPP sanggup buat pembedahan di dewan pembedahan di hospital swasta, jadi saya akan berunding dengan mereka (hospital swasta di Pulau Pinang) secepat mungkin kalau mereka tidak mahu menjalankan pembedahan (berisiko tinggi), kita akan sewa dewan pembedahan supaya dapat jalankan segera (pembedahan) kes kritikal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here