KOTA KINABALU, 27 Okt — Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyediakan calon timbalan perdana menteri (TPM) yang berwibawa dari negeri itu selari dengan cadangan mewujudkan tiga jawatan berkenaan, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata calon jawatan itu akan fokus kepada tugasnya dalam usaha menjaga hal-hal berkaitan kepentingan negeri dan rakyat Sabah terutama di peringkat Persekutuan.

Beliau mengakui Pakatan Harapan (PH) pernah mencadangkan jawatan TPM dari Sabah sebelum ini, namun sehingga kini perkara itu tidak pernah ditunaikan walaupun diberi peluang mentadbir negara selepas PRU14.

“PH gagal tunaikan dan hanya janji kosong. Apa kami katakan akan dikotakan dan BN Sabah akan menyediakan bakal TPM lebih berwibawa dan fokus kepada tugas sebagai TPM. BN Sabah akan tunaikan janji dan pastikan pelantikan TPM dipermudahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lepas Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan agar tiga jawatan timbalan perdana menteri, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung, diwujudkan jika BN menang dominan pada PRU15.

Ahmad Zahid berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto PRU15 untuk BN dan GPS.

Bung Moktar berkata kuota jawatan TPM dari Sabah juga bakal memastikan kuasa diberikan kepada Sabah bagi menentukan hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat negeri ini. 

“Tidak ada gunanya (Sabah) ada TPM tetapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here