KUALA LUMPUR, 24 Sept — Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan nilai jualan produk kraftangan tempatan tahun ini akan mencapai RM500 juta dengan RM200 juta daripadanya merupakan hasil produk batik seperi baju batik dan kain songket.

Ketua Pengarahnya Ibrahim Ismail berkata ini kerana dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, hasil jualan produk kraftangan tempatan telah mencapai jualan RM326 juta yang melibatkan keseluruhan 5,726 usahawan kraftangan tempatan.

“Dalam tempoh itu, nilai jualan kraf batik turut meningkat empat peratus iaitu RM114.7 juta berbanding RM110.3 juta pada tahun lepas.

“Jadi, kami harap sasaran itu tercapai melalui beberapa acara besar yang akan kami anjurkan di beberapa negeri seperti di Sabah dan Sarawak, sekali gus membantu usahawan-usahawan tempatan menjana pendapatan serta mempromosi produk kraf mereka,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Pusat Jualan dan Galeri Bujins Batik, di GM Bukit Bintang, di sini hari ini.

Perasmian itu telah disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Bujins Batik adalah satu jenama batik lukisan tangan yang memaparkan pembuatan batik tradisional dengan memperkenalkan corak rekaan moden selain mempelbagaikan produk batik seperti lukisan, beg genggam dan tanjak batik.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here