PONTIAN, 24 Sept (Bernama) — Durian Musang King semakin mendapat permintaan di China sehingga dijangkakan sebanyak 1,000 tan metrik sebulan buah sejuk beku itu mampu dieksport ke republik berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata para pekebun terlibat dengan tanaman itu kini digalakkan meningkatkan pengeluaran masing-masing, memandangkan hanya 50 peratus daripada permintaan 1,000 tan metrik durian itu mampu dieksport ketika ini.

“Whole frozen fruit ini (Musang King sejuk beku) berjaya dieksport ke China pada Jun lepas.

“Tiga hari lepas, semasa di Wuhan, kita lancarkan Musang King ini dan sambutannya sangat baik. Jadi, saya nampak masa hadapan industri durian kita berkembang dan kita akan pastikan kita akan terus tembusi pasaran China,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Salahuddin berkata beliau sudah berpesan kepada pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran Musang King, supaya sentiasa memenuhi kriteria dan protokol ditetapkan dalam mengeksport durian tersebut termasuk mendapatkan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) bagi mengelakkan buah terbabit tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa China.

Beliau berkata para pengusaha juga akan diberikan insentif sebagai galakan terhadap penanaman buah berkenaan.

Katanya Musang King banyak ditanam di Bentong dan Raub di Pahang, Segamat di Johor, serta Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah di Kelantan.

Berdasarkan galakan terhadap penanaman buah terbabit, sasaran peningkatan sebanyak 50 peratus lagi eksport buah itu dapat dicapai dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, katanya.

“Selain China, Musang King turut disasar untuk dieksport ke Singapura dan Los Angeles di Amerika Syarikat, di mana terdapat kawasan ‘Little China’ di situ,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here