PUTRAJAYA, 27 Sept — Setiap individu perlu menghayati nilai kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia seperti mana yang digariskan dalam konsep Rahmatan Lil Alamin, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata walaupun setiap individu bergaul dengan orang yang berbeza agama, namun kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan rakyat di Malaysia.

Beliau berkata kepelbagaian adalah sunnatullah dalam penciptaan makhluk manakala memuliakan manusia atas sifat kemanusiaan tanpa mengira agama adalah suatu tuntutan keagamaan.

“Perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif dan optimistik supaya manusia saling mengenal, melengkapi dan menjalin kerjasama yang harmonis antara satu sama lain.

“Bagi orang Muslim, Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi seperti mana ditegaskan Allah dalam al-Quran di samping dibuktikan Rasulullah melalui sejarah kehidupan serta perjuangan baginda,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Rahmah (KR19) di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

KR19 yang bermula semalam sehingga Ahad ini menampilkan konsep ‘edutainment’ bertujuan merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin bagi memberi pendedahan kepada rakyat pelbagai agama dan kaum untuk menghayati gagasan pentadbiran Islam dibawa kerajaan.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut melancarkan Skuad Sukarelawan Rahmah, yang terdiri daripada mahasiswa dan penjawat awam, yang akan berperanan membantu kelancaran program-program di KR19.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here