KUCHING, 15 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM42.74 juta untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf klinik kesihatan di Sarawak tahun ini, menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri berkata daripada jumlah tersebut, RM11.74 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan.

Menurutnya RM19 juta pula diperuntukkan di bawah klinik daif dan RM12 juta untuk perkhidmatan klinik desa.

Pada masa ini katanya, 206 daripada 271 klinik kesihatan di seluruh Sarawak berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Ini termasuk 175 klinik kesihatan, 20 klinik komuniti, sembilan klinik kesihatan ibu dan anak serta dua klinik desa,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Dalam pada itu Dr Sim berkata setakat 25 April lepas, kemajuan keseluruhan pembinaan Hospital Petra Jaya mencapai 71.24 peratus dengan projek itu dijadualkan siap pada Ogos 2025.

Projek Hospital Petra Jaya yang bermula pada 2013 dijadualkan siap pada November 2016, namun telah tertangguh berikutan kelewatan pembinaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here