KUALA LUMPUR, 25 Sept – GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) hari ini mengumumkan bahawa vaksin Arexvy (MAL24086007ARZ) telah diluluskan di Malaysia untuk virus sinsitium pernafasan (RSV).

RSV merupakan virus pernafasan lazim yang boleh membawa kesan klinikal serius seperti penyakit saluran pernafasan bawah (LRTD) dan pneumonia dalam kalangan warga emas.

Timbalan Pengarah dan Perunding Perubatan Pernafasan Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA Prof Dr Ahmad Izuanuddin Ismail berkata RSV boleh menyebabkan kesan parah terutama dalam kalangan warga emas dengan komorbiditi seperti asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan kegagalan jantung kronik.

“Pencegahan merupakan kunci kepada jangkitan RSV memandangkan tiada rawatan terhadap penyakit ini pada masa ini. Bagaimanapun, sekarang kita mempunyai vaksin yang baik di GSK terutama buat golongan emas yang mempunyai kormobiditi.

“Yang penting adalah kita perlu melindungi golongan warga emas terutama ibu bapa dan sebagainya untuk mencegah komplikasi kerana sebarang komplikasi terutama bagi mereka yang mempunyai kormobiditi, mungkin meningkatkan risiko dimasukkan ke hospital berikutan jangkitan RSV,” katanya pada majlis pelancaran vaksin Arexvy berkenaan di sini hari ini.

Pengarah Perubatan GSK Malaysia dan Brunei Dr Alap Gandhi berkata gabungan antigen RSV dan adjuvan daripada GSK direka untuk merangsang respons imun yang kuat bagi membantu melindungi golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

“Vaksin RSV ini telah diluluskan di 50 negara, dilancarkan di Malaysia setahun selepas pelancarannya di Amerika Syarikat dan vaksin terbabit menunjukkan keberkesanan keseluruhan sebanyak 82.6 peratus terhadap RSV-LRTD dengan keberkesanan 94.6 peratus yang diperhatikan dalam kalangan dewasa dengan komorbiditi.

“Matlamat kami menerusi vaksin ini adalah untuk membantu lebih ramai penduduk Malaysia terutama golongan warga emas menjalani kehidupan yang sihat,” katanya sambil menambah vaksin terbabit boleh didapati mulai bulan depan.

Beliau berkata vaksin RSV itu diluluskan untuk golongan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta berpotensi mentransformasikan usaha dalam mengurangkan beban RSV kepada golongan warga emas, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Malaysia & Brunei Ruxandra Nastasa berkata pengumuman hari ini memperlihatkan komitmen GSK terhadap inovasi dan usaha bersama-sama menangani penyakit. 

“Bagi pihak kami (GSK) ini bukan sahaja merawat, tetapi juga mencegah penyakit. 

“Di GSK kami percaya bahawa pencegahan merupakan intervensi paling bermanfaat bagi pesakit dan sistem penjagaan kesihatan. Untuk vaksin RSV ini, dengan usaha bersama-sama, ia berpotensi bukan sahaja meningkatkan kehidupan pesakit, malah mencegah penderitaan dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Walaupun RSV ialah penyakit yang menyerang semua peringkat usia, pada 2019, kesan RSV terhadap individu berusia 60 tahun dan ke atas adalah ketara dengan mengakibatkan lebih 470,000 dimasukkan ke hospital dan 33,000 kematian di negara berpendapatan tinggi.

Kadar kematian kes direkodkan di Malaysia adalah antara sembilan hingga 11 peratus. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here