VIENTIANE, 2 Okt – Bengkel ASEAN-Australia mengenai pengurusan maklumat kerajaan untuk menangani berita palsu dan maklumat salah telah diadakan pada Selasa di Jakarta, Indonesia, memfokuskan untuk membiasakan peserta dengan Garis Panduan ASEAN mengenai isu berkenaan. 

Agensi Berita Laos (KPL) melaporkan Ketua Pusat Hal Ehwal Antarabangsa di Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia Ichwan Makmur Nasution, merasmikan bengkel itu.

Beliau menekankan kepentingan memperkukuh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Berita Palsu (TFFN) dan mempromosikan pelaksanaan Garis Panduan ASEAN melalui perbincangan dan perkongsian pengalaman dalam komunikasi strategik.

Bengkel selama tiga hari itu akan memberi peluang kepada peserta untuk bertukar-tukar maklumat mengenai amalan baik dan meneroka pengajaran yang dipelajari dalam menangani berita palsu.

Topik seperti AI, kecemasan awam, dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan terdedah dalam mengakses maklumat yang boleh dipercayai juga akan dibincangkan.

Acara itu disokong oleh Perkongsian Keselamatan Politik ASEAN-Australia, dengan Yayasan Asia sebagai rakan pelaksana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here