KUALA LUMPUR, 17 Mei – Masalah Internet di 12 sekolah kebangsaan di kawasan Parlimen Lembah Pantai akan diselesaikan secara berperingkat dengan bantuan Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, kata Ahli Parlimen kawasan itu Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata TM dan PPD Bangsar Pudu sudah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dan sebagai permulaan TM akan pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar esok untuk menilai keperluan Internet di situ. 

“Proses tersebut akan memakan sedikit masa kerana harus mendapat kelulusan ke kawasan sekolah serta meneliti apa keperluan yang perlu, khususnya untuk bilik guru supaya Internet itu cukup bagi kegunaan harian guru,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya sekolah-sekolah di sekitar Lembah Pantai berkolaborasi dengan syarikat gergasi yang berpangkalan di kawasan itu dari segi pendigitalan.

“Kerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut juga sedikit sebanyak dapat menunjukkan kepada anak-anak (murid sekolah) bagaimana masa depan mereka dari segi pekerjaan yang mungkin jauh berbeza dengan dahulu…” katanya kepada pemberita selepas majlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here