LONDON, 2 Okt – Amnesty International pada Selasa menggesa Slovenia dan Montenegro untuk tidak membenarkan kapal MV Kathrin berlabuh, yang didakwa membawa bahan letupan ke Israel.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa menurut kenyataan daripada kerajaan Namibia dan Menteri Luar Portugal, kapal itu sedang mengangkut lapan kontena bahan letupan RDX Hexogen untuk dihantar ke Israel.

Pada Ogos, pihak berkuasa Namibia menolak kemasukan kapal yang didaftarkan di Portugal itu ke pelabuhan utama negara berkenaan, dengan alasan kebimbangan keselamatan dan sifat muatan kapal itu.

Kini kapal itu dilaporkan dalam perjalanan ke pantai Montenegro dan pelabuhan Koper di Slovenia, yang ia dijangka memunggah bahan letupan berkenaan, lapor agensi itu.

Masih tidak jelas bagaimana muatan itu akan dipindahkan ke Israel dari situ, namun Amnesty International memberi amaran mengenai implikasi pemindahan tersebut.

“Kargo berbahaya yang dipercayai berada di atas kapal MV Kathrin tidak sepatutnya sampai ke Israel, kerana terdapat risiko jelas bahawa kargo ini akan menyumbang kepada pelanggaran jenayah perang terhadap orang awam Palestin,” lapor Anadolu yang memetik Natasa Posel, ketua Amnesty International Slovenia.

Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, semua negara dilarang memindahkan senjata kepada pihak dalam konflik bersenjata yang terdapat risiko jelas senjata itu akan digunakan untuk melakukan jenayah perang atau pelanggaran serius lain.

Amnesty International menegaskan bahawa membenarkan transit bahan letupan ke Israel akan melanggar kewajipan itu.

Posel menekankan bahawa “mana-mana negara yang secara sedar memindahkan senjata kepada pihak yang terlibat dalam konflik ini, termasuk membenarkan transit kapal yang membawa senjata dan bahan letupan, berisiko melanggar Konvensyen Geneva dengan menggalakkan atau menyokong pelanggaran undang-undang berkenaan.”

Amnesty memuji Namibia kerana mematuhi kewajipan antarabangsa dengan menolak untuk membenarkan MV Kathrin berlabuh.

“Namibia dengan tepat mematuhi kewajipan antarabangsa dengan memastikan MV Kathrin tidak melalui pelabuhan mereka untuk memindahkan kargo ketenteraan ke Israel,” kata Posel.

“Kini terpulang kepada Slovenia, Montenegro, dan semua negara lain untuk melakukan perkara yang sama dan mengelakkan diri daripada memudahkan pemindahan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here