NEW DELHI, 3 Okt – Maldives pada Selasa berkata ia telah mengemukakan permohonan untuk mencelah dalam kes genosid Gaza yang sedang berjalan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan tujuan untuk menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin.

Beberapa negara menyokong kes yang dibawa terhadap rejim Zionis oleh Afrika Selatan pada Disember tahun lepas.

Israel dituduh melakukan genosid dalam perang kejamnya ke atas wilayah Palestin yang dikepung dengan populasi seramai 2.3 juta orang.

Kira-kira 6.5 peratus daripada penduduk Gaza telah terbunuh atau cedera dalam kempen ketenteraan Israel sejak Oktober tahun lepas.

Maldives telah memfailkan deklarasi untuk mencelah di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di The Hague, kata Presiden Mohamed Muizzu.

“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas tindakannya yang tidak sah di Gaza. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dan Israel mesti menghentikan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu hantaran media sosial pada Selasa.

“Maldives akan sentiasa berpihak kepada kemanusiaan, keamanan dan keadilan. Dalam berbuat demikian, kami akan terus menyokong rakyat Palestin. Palestin mesti diiktiraf dan ditubuhkan berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” tambah beliau.

Walaupun menghadapi kes genosid di The Hague dan kecaman global, tentera Israel terus melakukan pembunuhan besar-besaran di wilayah Palestin yang diduduki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here