FRANKFURT, 22 Okt – Syarikat penerbangan utama Jerman, Lufthansa akan menghentikan perkhidmatan hariannya dari Frankfurt ke Beijing berikutan persaingan yang sengit.
Jurucakap syarikat di Frankfurt berkata laluan itu akan dihentikan buat sementara waktu bermula dengan jadual penerbangan musim sejuk pada 27 Okt atas sebab faktor ekonomi.
Bagaimanapun, Lufthansa akan terus menawarkan penerbangan harian terus ke Beijing melalui hab keduanya di Munich. Pesawat Airbus A350, yang lebih moden dan mempunyai kos bahan api lebih rendah, akan digunakan untuk laluan ini.
Sebelum ini, pesawat Airbus A340 lama digunakan pada laluan dari Frankfurt.
Kumpulan Lufthansa mengeluh tentang persaingan yang tidak seimbang di laluan ini dengan penyedia penerbangan dari China, Turkiye, dan Teluk Parsi.
Syarikat penerbangan dari negara-negara ini mendapat manfaat daripada kos lokasi yang rendah, piawaian sosial yang rendah, dan pelaburan besar kerajaan dalam sektor penerbangan.
Selain itu, mereka terus menggunakan ruang udara Rusia, yang memendekkan laluan dan memberikan kelebihan kos tambahan kepada syarikat penerbangan berkenaan.
Syarikat penerbangan Barat telah memboikot ruang udara Rusia sejak pencerobohan penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022.