SHANGHAI, 5 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diberikan penghormatan besar oleh Presiden China Xi Jinping apabila pemimpin negara itu bersetuju menganjurkan satu majlis makan malam bagi meraikan kehadiran Anwar, di The Great Hall of People, Beijing pada 7 Nov ini.
“Ini merupakan satu penghormatan yang besar bagi Malaysia kerana kedua-dua pemimpin ini bukanlah berada di peringkat yang sama.. bukan setara,” kata Duta Malaysia ke Beijing Datuk Norman Muhamad dalam persidangan media di sini sempena lawatan perdana menteri ke China.
Beliau berkata perdana menteri dijangka tiba di Shanghai malam ini, perhentian pertama sebelum Beijing, bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari.
“Ini merupakan lawatan kerja untuk perdana menteri. Beliau bakal bertemu Xi yang merupakan ketua negara, manakala perdana menteri kita adalah ketua kerajaan. Untuk dapatkan ketua negara menjadi ‘hos’ kepada seorang ketua kerajaan, ia adalah satu penghormatan,” katanya.
Norman berkata majlis makan malam bagi meraikan lawatan rasmi pemimpin luar, biasanya akan dianjurkan oleh rakan sejawatan negara tuan rumah.
Perdana Menteri dijangka berlepas ke Beijing, perhentian terakhir bagi lawatan kerja ini pada 6 Nov, dan dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi.
Norman berkata di Shanghai, Malaysia juga diberikan penghormatan sebagai “Country of honour” di Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7), dengan Anwar diberi penghormatan untuk berucap sejurus selepas rakan sejawatannya Li Qiang menyampaikan ucapan, sebelum diikuti lima negara yang lain.
“Dua sebab penghormatan itu diberikan, pertama bagi Malaysia, China adalah rakan dagang terbesar dan ia bagi meraikan ulang tahun ke 50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
“Kita melihat ia sebagai penutup siri program yang diadakan antara Malaysia dan China,” katanya.
Lawatan kerja Anwar ke China dari 4 hingga 7 Nov ini adalah atas jemputan rakan sejawatnya Li bagi menghadiri CIIE ke-7 di Shanghai.