Pertingkat Usaha Agar Jenama Harumanis Perlis Terus Diperkasa – Raja Perlis

KANGAR, 25 April — Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pengusaha dan pemain industri diseru terus mempertingkat usaha dalam aspek penanaman, penyelidikan, pemprosesan serta pemasaran mangga Harumanis agar jenama Harumanis Perlis terus diperkasa dan dipelihara keasliannya.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah baginda amat yakin dan percaya Perlis akan kekal unggul sebagai hab pengeluaran mangga ini yang seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat dengan komitmen berterusan dan kerjasama strategik semua pihak.

“Beta amat berbangga apabila dimaklumkan bahawa industri (mangga) Harumanis terus berkembang dengan pesat sehingga kini melibatkan lebih 2,700 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,800 hektar,” titah baginda semasa berkenan merasmikan Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat, dekat sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan rakyat agar memanfaatkan tanah lapang di kawasan kediaman dengan penanaman Harumanis yang dilihat dapat memberikan hasil positif dalam tempoh mungkin 10 tahun akan datang.

“Jika ada tanah lebih sekurang-kurangnya tanamlah lima pokok…dalam lima pokok mungkin 10 tahun lagi harga (mangga Harumanis) akan meningkat, jika ada tanah lapang di kawasan rumah boleh kita usahakan, itu balasan lebih baik. Jadi siapa yang ada tanah lapang, tak buat apa silalah tanam Harumanis,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penggunaan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan, justeru semua pihak perlu sentiasa terbuka untuk menerima perubahan serta mempertingkat kemahiran supaya sektor itu terus relevan dan mampan.

“Menjadi harapan beta agar kerajaan negeri dan Persekutuan terus memberikan inisiatif yang berkaitan kepada pemain industri terutamanya melibatkan insentif bahan api dan lain-lain berikutan kenaikan harga disebabkan krisis (geopolitik) di Asia Barat yang mungkin berlarutan,” titah baginda.

Mengenai Perlis Agrofest yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April, Raja Perlis bertitah ia menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan pertanian, penternakan, teknologi agro dan keusahawanan bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat dalam menjamin keselamatan makanan dan kelestarian ekonomi.

“Perlis Agrofest 2026 ini dianjurkan bagi memperkasakan sektor pertanian sebagai bidang yang berpotensi tinggi serta berdaya maju khususnya kepada penduduk di negeri Perlis.

“Selain itu, penganjuran Perlis Agrofest juga merupakan satu bentuk penghargaan yang signifikan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keselamatan makanan negara,” titah baginda.