Sidang Kemuncak Pemimpin Syarikat Transnasional Qingdao ke-7 menutup tirainya baru-baru ini. Lebih 300 pegawai kanan syarikat transnasional asing berkumpul di bandar di pesisir timur China tersebut, memfokuskan tema “Tumpukan Rancangan Lima Tahun ke-15 China demi Masa Hadapan” untuk merebut peluang baharu dari pembangunan dan inovasi di China.
Sempena sidang kemuncak tersebut, perkataan yang paling kerap disebut adalah “mencipta bersama”, dan ia sekali gus mencerminkan perubahan hubungan antara syarikat transnasional dengan negara Tembok Besar ini.
Timbalan Presiden Baker Hughes, yang juga Presdien wilayah China, Cao Yang berpendapat bahawa kemampuan pengeluaran rakan kongsi dari China sedang berkembang pesat dan kedua-dua pihak akan bersama-sama membawa produk dan teknologi buatan China ke luar negara.
Pengarah Kanan Hal Ehwal Awam Herbalife Nutrition China, Yang Lan berpendapat bahawa ekosistem industri China semakin matang.
“Produk yang kami selidik dan bangunkan di China juga dieksport ke pasaran Asia Tenggara dan negara-negara lain. Kami optimistik terhadap China dan memandang China sebagai sumber inovasi global kami,” ujar Yang.
Bagi syarikat transnasional, Rancangan Lima Tahun ke-15 disifatkan sebagai “pelan tindakan” bagi mereka meluaskan pelaburan di pasaran China.
Pengarah Urusan Bersama Roland Berger, Denis Depoux berpendapat bahawa Rancangan Lima Tahun ke-15 amat bermakna kerana China bukan sahaja akan meneruskan penaiktarafan terhadap industri tradisional, tetapi juga akan meneroka potensi dalam sektor-sektor baharu seperti kesihatan dan perubatan, kecerdasan buatan (AI), kenderaan tenaga baharu (NEV) dan lain-lain.
Presiden syarikat Alstom China, Geng Ming pula menyatakan bahawa pihak syarikatnya pada mulanya menyertai pembinaan pengangkutan rel di China, dan kini membangun dan maju seiringan dengan sistem pengangkutan rel negara ini.













Tinggalkan Balasan