JOHOR BAHRU, 25 Jun — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kononnya beliau pernah memaklumkan bahawa pihak Istana ‘mengarahkan’ pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata pembubaran tersebut dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz menjelaskan Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati kerana proses berkenaan perlu melalui saluran yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.
“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah itu sebagai amat tidak bertanggungjawab sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa walaupun Mohd Puad mempunyai hak untuk meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti, kenyataan yang dikeluarkan itu adalah amat serius.
Beliau berkata, kenyataan sedemikian berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
Susulan perkembangan itu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik.
Terdahulu, Mohd Puad menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
















Tinggalkan Balasan