JOHOR BAHRU, 3 Julai — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberikan tumpuan utama terhadap pembangunan bakat, sebagai persediaan menjelang penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-23 (AMMSTI-23), tahun depan.
Menterinya Datuk Chang Lih Kang berkata aspek itu kekal menjadi agenda utama kementerian, kerana ia merupakan elemen penting dalam menyokong usaha negara menarik lebih banyak pelaburan berteraskan teknologi tinggi.
“Selain pembangunan bakat, fokus kita ialah peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, bahan termaju, nanoteknologi, termasuk hidrogen, serta bioteknologi. Itulah antara fokus utama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program MOSTI TechTalks Siri 2/2026 bertajuk AI and the Future of Engineering Careers di Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang, di sini, malam tadi.
Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah AMMSTI-23 pada Jun 2027, selaras dengan keputusan Mesyuarat AMMSTI-22 yang berlangsung di Vientiane, Laos, pada 26 Jun lepas.
Dalam perkembangan lain, Chang berkata MOSTI komited membantu kementerian lain dalam memperkukuh kandungan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agar selari dengan keperluan industri semasa, walaupun bidang itu bukan di bawah mandat kementerian berkenaan.
Beliau berkata kandungan TVET perlu diperkasakan dengan elemen baharu seperti robotik, kecerdasan buatan (AI) dan pengekodan berbanding pendekatan konvensional, yang lebih tertumpu kepada kemahiran tradisional.
Chang berkata usaha itu, melibatkan kerjasama dengan 12 kementerian yang terbabit dalam pelaksanaan TVET termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Sumber Manusia.
Mengenai MOSTI TechTalks, beliau berkata program yang diadakan secara berkala di kampus-kampus universiti, bertujuan mendekati golongan muda selain berkongsi perkembangan semasa pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
Chang berkata dialog seumpama itu penting, bagi memastikan mahasiswa memahami hala tuju pembangunan STI negara, sekali gus lebih bersedia menghadapi cabaran apabila melangkah ke alam pekerjaan.
















Tinggalkan Balasan