KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kerajaan akan mempercepat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi menambah baik aspek kemudahan dan kawal selia sektor berkenaan, selaras dengan kepesatan perniagaan digital masa kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan ekosistem e-dagang berkembang secara teratur, di samping memberikan kemudahan dan perlindungan kepada semua pihak, termasuk golongan muda serta usahawan baharu.
“Kita ada Akta Perdagangan Elektronik yang diluluskan sejak 2006, tetapi kita sedang menggubal rang undang-undang e-dagang untuk mempermudah dan juga daripada aspek pengawalan,” kata beliau ketika berucap pada TikTok Shop Summit Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penggubalan peraturan itu perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan pemain industri, selain memberikan jaminan keselamatan serta perlindungan kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan digital.
Perdana Menteri berkata perkembangan teknologi dan platform e-dagang membuka ruang baharu kepada golongan muda untuk menceburi perniagaan, khususnya mereka yang berdepan kekangan modal dan pengalaman.
Beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan ekosistem e-dagang terus menyokong perniagaan yang sah, dan pada masa yang sama mengelakkan platform berkenaan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita hendak galakkan legitimate bona fide businesses (perniagaan yang sah dan bona fide), tapi kita tahu ruang ini juga terbuka (kepada pihak) yang mungkin menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh.
“Oleh itu, harus ada (peraturan) agar orang yang memperkenalkan apa-apa juga jenis barang, makanan atau barangan untuk dijual, mesti ada nilai etika kerana dalam hidup ini, aspek pengurusan penting, perniagaan penting, keuntungan penting tetapi nilai akhlak dan etika juga penting,” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan pemain industri dan melakukan penyesuaian dasar bagi memastikan perkembangan teknologi baharu dapat dimanfaatkan secara lebih teratur.
Selain itu, beliau berkata kerajaan bersedia menyediakan sokongan melalui pelbagai agensi dan kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan kecil serta mereka yang baharu memulakan perniagaan.
Perdana Menteri berkata golongan usahawan baharu perlu diberi peluang sewajarnya walaupun belum mempunyai rekod perniagaan, selain memastikan mereka mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat perkembangan ekonomi digital dapat dinikmati lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda yang mempunyai idea dan keupayaan untuk menceburi bidang perniagaan.















Tinggalkan Balasan