Pesawat Malaysia Airlines Ke Kuala Lumpur Batal Proses Berlepas Di Lapangan Terbang Narita

CHIBA, 20 Ogos — Sebuah pesawat Malaysia Airlines menuju ke Kuala Lumpur membatalkan proses berlepas di Lapangan Terbang Narita berhampiran Tokyo pada pagi Khamis susulan masalah pada pesawat, lapor Kyodo News memetik Kementerian Pengangkutan.

Asap hitam dilaporkan kelihatan keluar dari pesawat ketika ia bergerak menuju ke satu daripada landasan lapangan terbang itu kira-kira 10.40 pagi waktu tempatan.

Secara berasingan, Xinhua memetik penyiar awam NHK sebagai melaporkan bahawa Lapangan Terbang Narita memaklumkan insiden itu menyebabkan Landasan A ditutup dan landasan berkenaan kini sedang diperiksa.

Pesawat itu membawa seramai 160 kru dan penumpang dan tiada laporan kecederaan diterima setakat ini, menurut laporan itu.

Rakaman yang disiarkan NHK menunjukkan pesawat itu berada dalam keadaan berhenti di landasan kira-kira 11 pagi dengan beberapa jentera bomba dan ambulans berada di sekitarnya ketika petugas berusaha menangani insiden itu.