JOHOR BAHRU, 12 Julai — DAP Johor akan melaksanakan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti faktor kekalahan parti itu di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, termasuk di Jementah dan Tangkak.
Pengerusinya Teo Nie Ching berkata parti itu akan meneliti pelbagai faktor menyebabkan kekalahan di kerusi berkenaan serta kawasan lain yang ditandingi sebelum mengambil iktibar dan memperbaiki kelemahan.
“Sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan yang patut kami perbaiki. Sudah tentu keputusan ini menghantar satu mesej untuk kami buat lebih baik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata DAP akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat tetap diteruskan.
Mengulas mengenai prestasi keputusan itu, beliau berkata Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi yang disandang sebelum ini.
Beliau berkata trend pengundian juga menunjukkan undi yang diperoleh calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2022 di Johor Jaya dan Perling kini beralih kepada calon BN.
“Walaupun dengan peningkatan peratusan undi untuk PH di kedua-dua kerusi tersebut, ia masih belum mencukupi untuk memenangkan calon PH,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata DAP menghormati mandat rakyat Johor serta merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas kemenangan diraih.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang keluar mengundi dan DAP amat menghargai segala sokongan diberikan,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DAP tewas di 11 daripada 17 kerusi yang ditandingi, termasuk kehilangan empat DUN yang disandangnya sebelum ini iaitu Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling.
BN berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN manakala PH (lapan).
PN, Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan enam calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.
















Tinggalkan Balasan