Kanada Pertimbang “Pelbagai Pilihan” Tindakan Balas Jika Tarif Baharu AS Berkuat Kuasa – PM

OTTAWA, 24 Julai — Perdana Menteri Kanada Mark Carney pada Khamis berkata  langkah-langkah tindakan balas sedang dipertimbangkan sekiranya kerajaannya gagal mencapai persetujuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum tarif baharu AS berkuat kuasa, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.

“Semua pilihan sedang dipertimbangkan,” bergantung kepada hasil rundingan dengan Washington, kata Carney pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin wilayah di Charlottetown, Prince Edward Island.

Mengenai kemungkinan tindakan balas sekiranya tarif baharu itu berkuat kuasa bulan depan, Carney berkata: “Kami mempunyai pelbagai pilihan tindakan yang boleh diambil dalam perkara itu.”

“Kami tidak perlu bertindak balas lebih awal. Malah, saya berpendapat tindakan sedemikian pada peringkat ini akan membawa kesan sebaliknya,” katanya.

Pada pagi Khamis, Carney berkata kerajaannya akan melakukan “apa sahaja yang diperlukan” bagi mempertahankan kepentingan nasional Kanada susulan ancaman tarif AS baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa Kanada akan melindungi dan menyokong pekerja, petani, perniagaan serta keluarga di negara itu dalam menghadapi tekanan perdagangan dari Washington.

“Kedudukan kami kini lebih kukuh berbanding ketika perang perdagangan ini bermula 18 bulan lepas,” kata Carney.

“Kedudukan kami lebih kukuh kerana keazaman rakyat Kanada sendiri serta tumpuan yang diberikan oleh para pemimpin wilayah dalam pertemuan ini,” katanya.

Trump pada Isnin menandatangani pengisytiharan bagi mengenakan tarif tambahan 50 peratus terhadap barangan tertentu dari Kanada, dengan mendakwa negara itu mendiskriminasi perdagangan AS.

Duti ad valorem tambahan sebanyak 50 peratus terhadap produk tenusu tertentu, minuman beralkohol, kenderaan bermotor dan barangan berkaitan akan berkuat kuasa pada 19 Ogos, menurut dokumen yang disiarkan di laman sesawang Rumah Putih.

Sebagai tindak balas, Carney pada Isnin menyifatkan tarif baharu AS itu sebagai “tindakan perdagangan unilateral terbaharu AS dalam siri tindakan yang secara langsung melanggar Perjanjian Kanada-Amerika Syarikat-Mexico.”

Carney pada Selasa berkata beliau telah berbincang dengan Trump dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mempergiat rundingan perdagangan.