KUALA LUMPUR, 30 Julai — Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 baru-baru ini muncul sebagai pemangkin penting kepada lonjakan digital Malaysia, menekankan bahawa masa depan yang berdaya tahan perlu berteraskan ketersambungan yang dipercayai.
Selain itu, ia menekankan kepada rangkaian yang selamat mengikut secure-by-design serta pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Ketua Keselamatan Ericsson Dr Connie McIntosh berkata kedaulatan data yang sebenar memerlukan lebih daripada sekadar penyimpanan data, sebaliknya menuntut kekukuhan tadbir urus, kemantapan penyulitan serta pembangunan rangkaian dilengkapi ciri keselamatan sebagai elemen asas.
“Kedaulatan data dibina berasaskan kepercayaan. Ia memerlukan tadbir urus yang kukuh, rangkaian yang selamat mengikut reka bentuk serta keyakinan bahawa data dapat dilindungi dan digunakan secara bertanggungjawab bagi menyokong masa depan digital Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ketersambungan yang dipercayai menjadi asas kepada aspirasi digital Malaysia dengan memberikan keyakinan kepada kerajaan, perniagaan dan pengguna untuk memanfaatkan AI, mempercepat transformasi digital serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
McIntosh berkata aspek privasi juga perlu diterapkan dalam rangkaian dan perkhidmatan digital sejak peringkat awal, disokong oleh penyulitan yang lebih kukuh, kawalan akses lebih baik, pemantauan berterusan serta respons lebih pantas terhadap ancaman siber baharu.
Ketua Program Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh yang senada dengan pandangan itu berkata persidangan antarabangsa seperti IRC sewajarnya menjadi platform untuk kerjasama jangka panjang, dan tidak berakhir sekadar dengan perbincangan dasar.
Beliau berkata persidangan pengawalseliaan seperti itu perlu menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan antara badan kawal selia, ahli akademik, industri dan masyarakat bagi menghasilkan impak yang bermakna, termasuk penyelidikan dan inisiatif pada peringkat kebangsaan.
“Kerjasama itu sebenarnya boleh menghasilkan sesuatu yang signifikan. Kami pernah menyertai persidangan pada 2022, dan kini sudah 2026. JomCheck, sebuah pakatan semakan fakta Malaysia, masih wujud dan telah memberikan banyak impak melalui kerjasama dengan pelbagai rakan strategik,” katanya.
JomCheck diwujudkan selepas wakil media, akademia dan masyarakat awam dari Malaysia menghadiri satu persidangan di Singapura, yang mendedahkan kepada pelbagai inisiatif semakan fakta pada peringkat antarabangsa.
Sabariah berkata universiti boleh menyumbang dengan lebih aktif kepada penggubalan dasar digital menerusi hasil penyelidikan, kertas dasar serta pandangan pakar dalam pasukan petugas kerajaan dan perbincangan meja bulat.
Persidangan selama dua hari yang bermula pada 21 Julai anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berakhir dengan ahli panel sepakat bahawa kemajuan AI perlu disertai dengan tadbir urus yang berkesan, reka bentuk platform yang bertanggungjawab serta pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat.
Dalam sesi itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mediha Mahmood berkata badan kawal selia perlu melihat melangkaui aspek penyederhanaan kandungan dengan meneliti bagaimana algoritma dan reka bentuk platform mempengaruhi tingkah laku pengguna.
“Kini, kita berada pada tahap badan kawal selia perlu bertanya bukan sahaja sama ada kandungan itu benar, tetapi bagaimana ia sampai kepada pengguna, berapa lama ia diulang serta bagaimana ia dipromosikan kepada khalayak,” katanya sambil menambah bahawa ketelusan platform yang benar-benar kukuh akan membantu menentukan sama ada sistem digital memanipulasi pengguna.
Berkongsi pandangan sama, Pengarah Bahagian Kesihatan Digital Kementerian Kesihatan Dr A. Maheshwara Rao berkata AI seharusnya menyokong bukannya menggantikan pertimbangan manusia, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan yang mengutamakan akauntabiliti dan keselamatan pesakit.
Beliau berkata penyelesaian kesihatan digital perlu menerima pakai pendekatan human in the loop serta melalui proses pengesahan yang sepatutnya sebelum dilaksanakan dalam persekitaran klinikal.
Sementara itu, Pengasas RELATE Malaysia Dr Chua Sook Ning memberikan amaran bahawa kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh melemahkan pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan secara bebas, dan AI seharusnya melengkapi, bukannya menggantikan interaksi manusia yang tulen.
Dalam aspek pembangunan bakat, Pengerusi Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GITC) Jamil Salleh berkata industri perlu menjadi rakan dalam mereka bentuk program pendidikan, dengan lebih menekankan terhadap pembelajaran berasaskan kompetensi dan peningkatan kemahiran sepanjang hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif Pinnacle Connexion Khim Chong berkata Malaysia perlu melangkah lebih jauh dalam rantaian nilai AI dengan membangunkan aplikasi bernilai tinggi, di samping memperkukuh keupayaan manusia seperti kreativiti.
Naib Presiden Huawei Malaysia Eric Hu berkata bakat masa depan memerlukan keupayaan merangkumi AI, pengkomputeran awan dan keselamatan siber memandangkan penerapan teknologi digital kian meluas merentasi pelbagai industri.
Beliau berkata Huawei menyasarkan untuk melahirkan 30,000 bakat AI Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelbagai inisiatif latihan, sekali gus menjadi langkah penting ke arah matlamat digital yang berteraskan manusia seperti dibincangkan sepanjang IRC 2026.
Ketika Malaysia mengharungi kemajuan pesat era AI, IRC menjadi mercu tanda yang jelas bagi tadbir urus proaktif dan kerjasama yang berpandangan jauh.
Pandangan yang boleh dilaksanakan serta perkongsian strategik yang terjalin sepanjang persidangan itu memastikan lonjakan digital negara bukan sahaja unggul dari segi teknologi, malah berteraskan etika dan pembangunan bakat.
Ia sekali gus mengukuhkan peranan IRC sebagai platform penting dalam menjamin masa depan yang makmur dan berpusatkan insan untuk seluruh rakyat Malaysia.
















Tinggalkan Balasan