KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Google Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik bagi memperkukuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam institusi pendidikan MARA menerusi pelaksanaan Google Workspace for Education Plus.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Zahari Aziz berkata AI bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan sebaliknya telah menjadi pemacu perubahan dalam pendidikan, pekerjaan dan pembangunan modal insan.
“Institusi pendidikan perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi melahirkan graduan yang celik digital, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti Gemini, Google Classroom, NotebookLM dan aplikasi lain dalam Google Workspace for Education Plusdijangka dapat meningkatkan produktiviti serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Kerjasama yang diterajui Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) itu melibatkan penyediaan 30,000 lesen Google Workspace for Education Pluskepada warga Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan enam kampus Kolej Poly-Tech MARA di seluruh negara.
Kerjasama itu turut melibatkan penubuhan Centre of Excellence (CoE), pelaksanaan Google Career Certificates, Google Cloud Career Launchpad,latihan AI dan pensijilan Gemini.
Google Malaysia turut membiaya 500 Google Professional Certificateskepada pelajar UPTM bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam ekonomi digital.
Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama MARA dan Google Malaysia dalam membangunkan bakat digital serta melahirkan generasi yang bersedia menghadapi era AI sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital global.

















Tinggalkan Balasan