Sistem Saringan Kru Penerbangan Perlu Dikaji Semula, Pulihkan Keyakinan Penumpang – Tiong

PUTRAJAYA, 9 Ogos — Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pihak berkuasa penerbangan dan agensi berkaitan mengkaji semula sistem saringan serta pengurusan keselamatan kru susulan penahanan seorang pembantu juruterbang di Indonesia atas dakwaan terlibat pengedaran dadah.

Beliau berkata insiden itu perlu dijadikan amaran serius bagi menutup sebarang kelompangan dalam sistem penerbangan negara selain memastikan keyakinan penumpang dan pelancong antarabangsa terhadap keselamatan penerbangan Malaysia terus terpelihara.

Tiong berkata kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG) bahawa pembantu juruterbang itu tidak mengendalikan pesawat pada hari kejadian tidak menjawab kebimbangan utama orang ramai.

“Kebimbangan penumpang bukan sama ada individu itu menerbangkan pesawat atau tidak, tetapi keputusan ujian air kencing yang positif serta kelemahan pemantauan yang terbongkar menerusi kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Tiong menggesa agar pemeriksaan lebih ketat sebelum bertugas bagi juruterbang dan kru kabin dibangunkan serta dikuatkuasakan secara bersama-sama oleh syarikat penerbangan, pihak berkuasa kawal selia dan polis bahagian narkotik.

“Sekiranya perlu, petugas boleh diarahkan melaporkan diri satu jam setengah hingga dua jam sebelum bertugas untuk menjalani saringan dan hanya dibenarkan memulakan tugas selepas melepasi saringan yang ditetapkan,” katanya.

Tiong berkata sistem keselamatan lapangan terbang turut perlu dikaji semula dari segi prosedur, peralatan dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang kelemahan dapat ditangani, sekali gus melindungi imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

Pada 7 Ogos, MAG memaklumkan saringan dadah diwajibkan terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines dan akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat ke atas semua juruterbang aktif sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.

Langkah itu susulan penahanan pembantu juruterbang Malaysia berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.