JIM Siasat Penggunaan Logo Jabatan Pada Kenderaan Dipandu Warga Asing

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menjalankan siasatan berhubung penggunaan logo jabatan pada sebuah kenderaan dipercayai dipandu warga asing seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata hasil semakan awal mendapati kenderaan berkenaan bukan milik atau aset rasmi JIM.

“JIM memandang serius penggunaan logo jabatan pada kenderaan tersebut kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta tujuan penggunaan logo JIM pada kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.

“JIM tidak berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej dan integriti jabatan,” katanya.

Beliau turut menghargai keprihatinan orang ramai berhubung perkara itu dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan sewajarnya.