KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Peningkatan agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 menjadi petunjuk positif usaha pemulihan dan penstrukturan institusi itu mula membuahkan hasil, kata pakar ekonomi.
Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Harunnizam Wahid berkata penambahbaikan tadbir urus dan rangka kerja pengurusan berpotensi meningkatkan prestasi kewangan serta pelaburan TH yang memberikan ruang kepada peningkatan agihan keuntungan kepada pendeposit.
“Agihan keuntungan merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana 75 peratus deposit di TH dimiliki oleh hanya lima peratus pendeposit yang mempunyai dana besar dan bermatlamatkan pulangan tinggi,” katanya kepada Bernama.
Harunnizam berkata peningkatan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2025 turut mencerminkan kedudukan kewangan TH yang semakin kukuh, namun keberkesanan reformasi pasca-Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu dinilai secara menyeluruh.
Beliau berkata penilaian itu perlu mengambil kira perubahan struktur tadbir urus, kawalan dalaman, pengurusan risiko, disiplin pelaburan, kedudukan kewangan serta manfaat yang diterima pendeposit dan jemaah haji.
“Berdasarkan laporan TH 2022 hingga 2025, terdapat data yang konsisten menunjukkan reformasi tersebut telah menyumbang kepada pengukuhan institusi dan pemulihan prestasi, walaupun tidak semua sasaran HIJRAH24 dicapai sepenuhnya,” katanya.
Mengenai penerbitan Laporan RCI TH, Harunnizam berkata keputusan kerajaan mendedahkan laporan itu menunjukkan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus dan ketelusan institusi itu.
Beliau berkata pelaksanaan syor RCI termasuk sebarang pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), wajar diberi perhatian bagi terus memperkukuh tadbir urus dan kawal selia TH, selain menjadi antara indikator penting dalam menilai keberkesanan usaha Kerajaan MADANI melaksanakan syor tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Madya Dr Md Fauzi Ahmad menyifatkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi 2025 sebagai petunjuk positif terhadap pemulihan TH, namun kejayaan proses itu perlu dinilai berdasarkan prestasi yang konsisten untuk beberapa tahun serta pelaksanaan keseluruhan syor RCI.
Beliau yang juga Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM berkata peningkatan agihan keuntungan menunjukkan usaha pemulihan dan penstrukturan TH mula membuahkan hasil, tetapi belum memadai untuk membuktikan keseluruhan reformasi telah berjaya.
“Penilaian perlu merangkumi kekuatan kewangan, prestasi pelaburan, tadbir urus, pengurusan risiko serta keupayaan TH mengekalkan agihan kompetitif secara mampan.
“Peningkatan agihan juga perlu disokong prestasi kewangan yang kukuh dan bukan semata-mata dipengaruhi keuntungan jangka pendek atau pelarasan tertentu,” katanya.
Beliau berkata dari perspektif pendeposit, keyakinan terhadap TH bergantung kepada keupayaannya memberikan pulangan stabil, melindungi simpanan serta memastikan kemampuan menanggung kos pengurusan haji pada masa hadapan.
Pada Mac lepas, TH mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3.22 bilion, memanfaatkan lebih 9.7 juta pendeposit berbanding 3.25 peratus pada tahun sebelumnya.
TH memaklumkan kadar itu mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik dengan pendapatan pelaburan mencecah paras tertinggi RM4.64 bilion pada 2025 manakala aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion.
Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata prestasi itu yang terbaik dalam tempoh lapan tahun dan mencerminkan keberkesanan strategi pelaburan berdisiplin serta rangka kerja tadbir urus yang diperkukuh.

















Tinggalkan Balasan