Penerbangan Terus Haikou-Penang Bermula 11 Oktober

GEORGE TOWN, 12 Ogos — Perkhidmatan penerbangan terus Haikou-Penang akan dilancarkan pada 11 Okt ini, menjadikan Haikou sebagai bandar raya kesembilan di China yang mempunyai hubungan udara terus berjadual dengan Pulau Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.

Beliau berkata laluan baharu itu akan terus memperkukuh hubungan udara antara Hainan dan Pulau Pinang, selain membuka lebih banyak peluang kepada negeri itu untuk meneroka pasaran pelancongan China.

Wong berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Hainan Airlines di Guangzhou hari ini, sempena siri jelajah promosi pelancongan negeri bagi memperkenalkan produk dan tarikan pelancongan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kedua-dua pihak telah membincangkan dan memuktamadkan perancangan pembukaan laluan baharu itu.

“Haikou akan menjadi bandar raya kesembilan di China yang mempunyai hubungan udara terus berjadual dengan Pulau Pinang, sekali gus memperkukuh jaringan udara negeri dengan China.

“Selepas Guangzhou, Hong Kong, Xiamen, Chengdu, Shenzhen, Shanghai, Qingdao dan Chongqing, penambahan Haikou merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas hubungan udara Pulau Pinang dengan bandar-bandar utama di China,” katanya.

Penerbangan terus sulung, HU477, dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan (HAK) pada 5.30 petang 11 Okt dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) pada 8.45 malam hari yang sama.

Penerbangan pulang, HU478, pula dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 9.45 malam hari yang sama dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haikou Meilan pada 1 pagi keesokan harinya.

Perkhidmatan itu akan beroperasi dua kali seminggu, iaitu pada Rabu dan Ahad.

Beliau berkata laluan baharu itu akan meningkatkan lagi kebolehcapaian Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, mengukuhkan pasaran pelancong China sedia ada serta mewujudkan keadaan lebih kondusif bagi negeri itu memanfaatkan potensi besar China, yang merupakan antara pasaran pelancongan terbesar dunia.

Wong berkata Haikou mempunyai potensi pasaran yang besar untuk Pulau Pinang, dengan Biro Perangkaan Kebangsaan China merekodkan jumlah penduduk tetap Haikou sebanyak 3.0563 juta orang pada akhir 2025, manakala wilayah Hainan mempunyai kira-kira 10.55 juta penduduk tetap.

“Sebagai ibu negeri Hainan, Haikou merupakan pintu masuk penting yang menghubungkan Hainan dengan dunia luar. Bagi Pulau Pinang, ini mewakili pasaran pelancongan yang mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata hubungan udara baharu itu bukan sahaja penting dari sudut pelancongan, malah turut menyumbang kepada pengukuhan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Pulau Pinang dan Hainan.

Kedua-dua negeri menjalin hubungan persahabatan pada 2013, diikuti pengukuhan hubungan antara Pulau Pinang dan Sanya menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai hubungan bandar persahabatan pada 2017.

Beliau berkata peningkatan kebolehcapaian dan kemudahan perjalanan akan membantu mempererat kerjasama antara Pulau Pinang dan Hainan dalam bidang termasuk perniagaan, industri kreatif, kebudayaan, pertukaran rakyat dan pelancongan.

Wong turut menekankan potensi lebih luas dalam pertukaran ekonomi dan perindustrian, dengan menyifatkan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan sebagai platform perdagangan bebas penting di China, manakala Pulau Pinang merupakan hab penting pembuatan elektronik dan semikonduktor di Malaysia serta hab logistik serantau.

“Dengan adanya penerbangan terus berjadual antara Haikou dan Pulau Pinang, komuniti perniagaan dan pemain industri di kedua-dua pihak akan mempunyai akses lebih mudah untuk perjalanan perniagaan, pertukaran industri dan hubungan logistik,” katanya.