KUALA TERENGGANU, 17 Ogos — Malaysia Aviation Skills Standard (MASSA) sedia bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memperkukuh pendidikan pencegahan, pembangunan kompetensi profesional dan budaya keselamatan dalam kalangan warga kerja penerbangan Malaysia.
Presiden MASSA Dr Nur Zairahtul Amirah Kamallazim berkata pihaknya menyambut baik langkah terbaharu CAAM dalam memperkukuh kawalan berkaitan kecergasan untuk petugas serta usaha mencegah penyalahgunaan alkohol serta dadah dalam industri penerbangan negara.
Beliau berkata bagaimanapun, langkah berkenaan perlu disertai dengan penerapan pendidikan yang berterusan, kesedaran profesional serta pembudayaan keselamatan bagi memastikan akauntabiliti dan tahap profesionalisme tinggi dalam kalangan warga industri.
“Safety Directive SD 2/2026 yang dikeluarkan oleh CAAM pada 7 Ogos lepas dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh komitmen Malaysia terhadap tahap keselamatan penerbangan yang tinggi. Ujian dan pengawasan kawal selia sememangnya penting sebagai langkah perlindungan, tetapi sistem keselamatan yang kukuh dan berterusan perlu menitikberatkan pencegahan, pendidikan dan pembudayaan keselamatan.
“Malaysia mempunyai ruang untuk memperkukuh budaya ini dengan melengkapkan langkah kawal selia sedia ada melalui pendidikan dan kesedaran yang merangkumi pemahaman berkaitan kecergasan, tatakelakuan profesional, risiko di tempat kerja serta mekanisme sokongan rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahraitul Amirah berkata Malaysia mempunyai komuniti penerbangan yang besar dan sentiasa melaksanakan tugas berkaitan keselamatan dengan penuh disiplin serta profesional.
Sehubungan dengan itu, katanya, tindakan atau kesilapan individu tertentu tidak seharusnya menjadi kayu ukur terhadap keseluruhan profesion, sebaliknya perkembangan semasa perlu dijadikan peluang untuk memperkukuh standard keselamatan dalam seluruh industri.
Beliau berkata kerjasama rapat antara pihak berkuasa kawal selia, pengendali syarikat penerbangan, badan profesional penerbangan, organisasi latihan dan agensi berkaitan perlu diwujudkan bagi memperkukuh sistem sedia ada.
“MASSA mengalu-alukan peluang untuk mengadakan perbincangan teknikal dan dialog bersama-sama CAAM serta pihak berkepentingan industri tentang pendidikan pencegahan, pembangunan kompetensi profesional dan pengukuhan budaya keselamatan dalam bidang penerbangan.
“Keselamatan penerbangan tidak dapat dibina melalui penguatkuasaan semata-mata. Ia memerlukan kompetensi, tanggungjawab profesional, serta budaya kerja yang memastikan setiap petugas penerbangan memahami bahawa keselamatan bermula daripada diri sendiri,” katanya.
CAAM baru-baru ini, mewajibkan semua pengendali syarikat penerbangan di Malaysia menjalankan ujian saringan dadah di bawah Program Ujian Alkohol dan Dadah (ADTP) terhadap kru penerbangan dan kru kabin yang sedang bertugas dalam tempoh 30 hari.
Arahan itu dibuat sebagai langkah keselamatan besar-besaran susulan insiden penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram ekstasi dan sejumlah kecil syabu ke negara berkenaan.

















Tinggalkan Balasan