SEPANG, 28 Okt — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan transit 30 unit server mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) termaju bernilai hampir RM49.5 juta.
Pengarahnya, Aspalila AG Tuah berkata rampasan terhadap barangan yang berpotensi digunakan untuk pembangunan teknologi ketenteraan itu hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 15 Okt lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua server tersebut dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu bil jalan udara sebagai komponen elektronik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum dieksport ke negara Asia lain.
“Sindiket juga disyaki menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit bagi memastikan tiada sebarang sekatan semasa pengeksportan server ke negara seterusnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan Strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Masyita Ismail berkata cip AI berkapasiti tinggi itu dikawal ketat kerana dikategorikan sebagai barangan dwikegunaan.
“Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010 mengawal barangan dwikegunaan kerana ia boleh dimanfaatkan untuk pembangunan teknologi senjata pemusnah massal,” katanya yang enggan mendedahkan jenama, negara asal serta destinasi cip tersebut susulan siasatan masih dilaksanakan.
MITI menguatkuasakan Arahan Pengawal Perdagangan Strategik No. 1/2025 bagi mengawal selia aktiviti eksport, transit, dan pindahan kapal cip AI termaju di Malaysia untuk menghalang penyalahgunaan wilayah negara sebagai hab pintasan perdagangan cip berprestasi tinggi ke negara sekatan.
Arahan itu menetapkan mana-mana cip bernilai Prestasi Pemprosesan Keseluruhan (TPP) lebih 1,600 atau lebih 4,800 apabila digabungkan dengan Ketumpatan Prestasi lebih 3.2, memerlukan permohonan permit 30 hari sebelum dibawa masuk ke Malaysia.
Sementara itu, Aspalila mengesahkan bahawa rampasan tersebut adalah kes kelima melibatkan sindiket sama tahun ini, dengan nilai keseluruhan rampasan bagi kesemua kes mencecah lebih RM100 juta.
Ditanya mengenai status pendakwaan bagi kes sebelum ini, beliau berkata syarikat pengendali penghantaran barang dagangan telah dipanggil untuk membantu siasatan, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Katanya kesemua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20 juta bagi pertubuhan perbadanan, atau maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya bagi individu, jika sabit kesalahan.














Tinggalkan Balasan