Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berjaya membina hubungan berasaskan saling mempercayai serta mewujudkan mekanisme dialog berteraskan kesaksamaan, saling menghormati dan permuafakatan sejak ditubuhkan 25 tahun lalu.
Setiausaha Agung SCO Nurlan Yermekbayev berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Sidang Kemuncak SCO 2026 dijadual berlangsung di Bishkek, Kyrgyzstan minggu ini.
Yermekbayev berkata walaupun anggota SCO berbeza dari segi sistem politik, keutamaan pembangunan ekonomi, sejarah, budaya dan tamadun, mereka tetap mampu bekerjasama serta mencapai persetujuan penting dalam isu yang paling rumit.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai antara pencapaian terpenting SCO sepanjang 25 tahun lalu.
SCO kini mempunyai 27 anggota berbanding hanya enam ketika ditubuhkan pada Jun 2001.
Pertubuhan itu juga berkembang menjadi organisasi kerjasama serantau komprehensif yang meliputi kawasan paling luas, mempunyai jumlah penduduk terbesar serta potensi pembangunan yang besar.
Yermekbayev berkata sepanjang 25 tahun lalu, negara anggota berpegang kepada “Semangat Shanghai”, memperkukuh perpaduan dan memperluas kerjasama sehingga berjaya meneroka pendekatan baharu dalam kerjasama serantau serta menjadi contoh kepada bentuk hubungan antarabangsa baharu.
Mengenai “keluarga besar SCO” yang terus berkembang, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan minat banyak negara terhadap pertubuhan itu.
Yermekbayev menegaskan bahawa SCO tidak membezakan anggotanya berdasarkan saiz negara atau kekuatan ekonomi.
“Semua negara berkedudukan sama rata dalam organisasi ini, dan inilah antara nilai serta daya tarikan utama SCO,” kata beliau.













Tinggalkan Balasan