Jerebu: Agong Perkenan Isytihar Darurat Di Seluruh Serian, Sarawak – PMO

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.  

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera, termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” menurut PMO dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata tindakan lanjut termasuk pengisytiharan darurat bencana susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 500 di Serian akan dibincangkan dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Perdana Menteri berkata beliau telah menghubungi Abang Johari bagi membincangkan krisis jerebu berkenaan sejak dua hari lepas.

Setakat 4 petang ini, kualiti udara di Serian masih berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan IPU mencecah 514.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching juga berada pada tahap bahaya dengan bacaan 313, manakala kawasan Samarahan dan Sri Aman pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing dengan bacaan 288 dan 239.