KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam lelaki tempatan disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang berkaitan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta, Indonesia pada Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia 23 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi khas JSJN dari 20 hingga 28 Ogos di beberapa lokasi.
Tangkapan itu hasil maklumat dan soal siasat pasukan JSJN terhadap pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.
“Siasatan dan risikan mendapati semua suspek itu mempunyai peranan dalam sindiket pengedaran dadah yang membabitkan pembantu juruterbang itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussein berkata empat daripada enam suspek itu sempat melarikan diri ke Thailand dan Vietnam, namun ditahan sebaik kembali ke Malaysia.
“Dua lelaki yang melarikan diri ke Thailand ditahan sewaktu kembali ke negara ini menaiki feri ini di Kuah, Langkawi manakala dua lagi yang ke Vietnam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya.
Hussein berkata suspek kini ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang membolehkan polis menahan reman mereka selama 60 hari bagi melengkapkan siasatan sebelum perintah tahanan lanjut dikeluarkan.
“Sebahagian hasil siasatan melibatkan enam lelaki itu akan dikongsikan kepada pihak polis Indonesia,” katanya.
Sebelum ini, seorang pembantu juruterbang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Pemeriksaan pihak berkuasa menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 biji kapsul ekstasi dan syabu (methamphetamine) dianggarkan bernilai RM45 juta berdasarkan harga pasaran di negara itu.
















Tinggalkan Balasan