KUCHING, 9 Sept — Sebanyak 20 petugas daripada pelbagai agensi digerakkan ke Long Lellang pagi ini untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan nahas helikopter di kawasan itu semalam.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memaklumkan pasukan itu antaranya terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak polis.
“Pergerakan ke Long Lellang menggunakan helikopter JBPM dirancang secara berperingkat, dengan penerbangan pertama membawa pasukan operasi sebelum penerbangan membawa pasukan forensik polis.
“Sebelum pergerakan dilaksanakan, taklimat operasi telah diadakan di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak JBPM di Miri,” menurut UKAS menerusi dalam hantaran di media sosial milik unit itu hari ini.
Difahamkan pasukan SAR telah bergerak ke lokasi kejadian pada 11 pagi tadi.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan perkhidmatan doktor udara (FDS).
















Tinggalkan Balasan