Penyatuan Satu-satunya Cara Kembalikan Kuasa Politik Melayu – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Penyatuan Melayu ialah satu-satunya cara bagi mengembalikan kuasa dan kedudukan politik orang Melayu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penyatuan Melayu juga penting bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal dihormati oleh rakan-rakan politik di Sabah dan di Sarawak untuk memberikan Melayu keabsahan bagi terus mengemudi pemerintahan negara.

“Jika kita tidak boleh mengurus Melayu dengan baik, bagaimana kita akan meyakinkan rakan kita di Sabah dan Sarawak untuk terus yakin dengan kita bagi menerajui pemerintahan Malaysia?,” katanya semasa sesi pergulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata apabila kuasa politik Melayu terus berpecah dan berantakan, keadaan itu hanya mempamerkan kelemahan Melayu sebagai kuasa politik, bangsa induk serta pemerintah yang berwibawa dan berprestasi.

“Kelemahan-kelemahan ini akan melunturkan kelayakan dan kelebihan kita di Semenanjung Tanah Melayu selaku nakhoda dan pengemudi pembangunan Malaysia.

“Dalam segala kekacauan dan kecelaruan ini, wilayah Sabah dan Sarawak pastinya tidak akan sekadar memerhati gelagat kita. Mereka sudah pasti berhak bertanya, apakah masih mesti orang Semenanjung yang terus diberikan kelebihan dalam memandu dan memajukan Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau berkata penyatuan Melayu itu penting bagi mengembalikan keyakinan Sabah dan Sarawak bahawa Semenanjung berada dalam keadaan baik, saling menyokong dan masih berkeupayaan menerajui pembangunan negara.

Penyatuan Melayu yang dibawa UMNO bukan sekadar slogan atau jenama, sebaliknya merupakan iltizam politik untuk menguatkan kedudukan bangsa Melayu merentas masa, usia, dan ideologi politik.

Usaha menjayakan penyatuan berkenaan boleh digerakkan menerusi konsep Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Tafahum Siyasi yang diperkenalkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dan, melalui Tafahum Siyasi, orang Melayu bersatu tanpa perlu meleburkan identiti dan ideologi politik masing-masing untuk pastikan kepentingan Melayu dapat diperjuangkan dan juga dipelihara,” katanya.