UMNO Tidak Harap Ihsan, Bina Kekuatan Sendiri – Mohamad

KUALA LUMPUR, 12 Sept — UMNO komited membina kekuatan sendiri dan tidak akan sesekali menggadaikan maruah parti demi meraih kedudukan mahupun mengharapkan ihsan pihak lain, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata parti itu ditubuhkan atas dasar perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air, justeru tidak seharusnya bergantung kepada pihak lain untuk kembali bangkit.

Sehubungan itu, katanya seluruh kepimpinan dan ahli perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan kekuatan dalaman sebagai benteng utama dalam mendepani apa jua cabaran politik.

“UMNO tidak pernah mengharapkan ihsan orang. UMNO tidak ditubuhkan kerana ihsan orang. UMNO ditubuhkan kerana kita nak membela Melayu, bangsa dan agama kita.

“Jangan kita mimpikan parti lain nak membimbing kita untuk bangkit semula. Tak ada satu mata atau hati pun yang nak melihat kita bangkit. Binalah kekuatan sendiri kerana apabila kita kuat, orang tidak boleh memperkotak-katikkan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas gagasan persefahaman politik (Tafahum Siyasi), Mohamad mengingatkan bahawa konsep berkenaan perlu dilaksanakan secara saksama dan tidak hanya menguntungkan sebelah pihak.

Bagi menguji sejauh mana keikhlasan dan kejujuran rakan persefahaman dalam mendukung agenda penyatuan ummah, beliau mencadangkan agar satu daripada empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (SG4) mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.

“Tetapi persefahaman jangan sebelah pihak sahaja, kita sahaja nak persefahaman, dia mengambil untung sahaja. Saya nak cadangkan lepas Melaka, kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 buat pilihan raya.

“Tunjukkanlah kalau ikhlas sama-sama. Jangan kita sahaja yang beria-ia, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau benar-benar ikhlas di atas nama Penyatuan Ummah Melayu, kita lihat bagaimana formula yang nak digunakan,” katanya.

Mohamad berkata kejujuran dalam perundingan amat penting bagi membolehkan formula yang kukuh dibentuk dalam usaha menyatukan orang Melayu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).