Penjara Kajang, Kediaman Najib Jadi Tumpuan Pengamal Media

KAJANG, 18 Sept — Penjara Kajang dan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi tumpuan pengamal media dalam dan luar negara berikutan pengumuman Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada beliau hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati petugas Jabatan Penjara Malaysia melakukan sekatan di laluan menuju pintu utama penjara bagi mengawal pergerakan keluar masuk ke kompleks berkenaan.

Petugas media yang berkumpul di hadapan bangunan penjara itu pula hanya dibenarkan menunggu kira-kira 10 meter dari pintu pagar utama Penjara Kajang.

Setakat 12.30 tengah hari, tiada sebarang pergerakan membabitkan bekas Perdana Menteri dikesan di pintu masuk Penjara Kajang.

Sementara itu, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, ibu negara di sini menjadi tumpuan lebih 50 pengamal media dalam dan luar negara sebaik sahaja berita tentang pengampunan bersyarat beliau tersebar.

Beberapa kenderaan polis turut kelihatan.

Terdahulu, Bernama melaporkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

 BHEUU dalam kenyataan memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.