PUTRAJAYA, 24 Sept — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan kenyataan yang disiarkan menerusi sebuah akaun Facebook bertajuk “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu?”, didakwa menyerupai berita rasmi.
Susulan itu, JPJ telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan.
“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti,” menurut JPJ menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sentiasa merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.
Semakan di akaun Facebook berkenaan didapati hantaran itu yang dimuat naik 12 jam lepas masih belum dipadam setakat 9.15 pagi ini, dengan lebih 1,800 komen dan 325 perkongsian.

















Tinggalkan Balasan