Sistem Semboyan Batang Kali Pulih, ETS Dan KTM Komuter Kembali Beroperasi

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa selepas kerosakan sistem semboyan (signaling) di laluan Batang Kali berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 5 petang tadi.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan yang berlaku pagi tadi menjejaskan operasi pergerakan tren sehingga menyebabkan beberapa perkhidmatan berkenaan mengalami kelewatan kira-kira 30 minit daripada jadual asal.

“Sejurus gangguan dikenal pasti, pasukan teknikal KTMB telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan kerja-kerja baik pulih bagi memastikan sistem dapat dipulihkan dengan selamat serta operasi tren dapat kembali berjalan seperti biasa.

“Susulan kerja-kerja pemulihan yang telah selesai, semua perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang kini telah kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa,” menurut kenyataan itu. 

KTMB turut memohon maaf kepada penumpang yang terkesan atas kesulitan dan kelewatan dialami sepanjang tempoh gangguan serta merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang kerja pemulihan dilaksanakan.

Penumpang boleh merujuk saluran media sosial rasmi KTMB bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan status perkhidmatan tren.