Malaysia, Kazakhstan Kenal Pasti Enam Bidang Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi – Zambry

ASTANA, 26 Sept — Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Malaysia dan Kazakhstan telah mengenal pasti enam bidang berpotensi untuk dijalin kerjasama antara universiti kedua-dua negara.

Beliau berkata bidang berkenaan termasuk kecerdasan buatan (AI), sains nuklear, pertanian dan mineral kritikal, dengan universiti kedua-dua negara dijangka mengenal pasti rakan kerjasama yang sesuai berdasarkan kekuatan dan kepakaran masing-masing.

“Tumpuannya adalah mengenal pasti bidang yang mempunyai kekuatan strategik bagi kedua-dua negara untuk dimanfaatkan dalam penyelidikan dan kerjasama antara institusi pengajian tinggi,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah 2026 (MAHEF2026) di Maqsut Narikbayev University di sini hari ini.

Zambry berkata selain itu, persetujuan untuk mengadakan mesyuarat tahunan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Kazakhstan, dengan mesyuarat tahun ini diadakan di Kazakhstan manakala Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya pada tahun hadapan.

Kedua-dua negara turut mencapai persetujuan untuk mempertingkat mobiliti pelajar dan penyelidik, pertukaran akademik serta program pertukaran pelajar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Zambry berkata kerjasama juga tidak seharusnya sekadar membawa pelajar Kazakhstan ke Malaysia, sebaliknya universiti tempatan turut digalakkan menawarkan program pendidikan mereka di Kazakhstan menerusi pendidikan rentas negara, program dwiijazah serta model pendidikan fleksibel yang lain.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan kepentingan “diplomasi pendidikan” yang semakin meningkat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membina hubungan jangka panjang antara negara menerusi institusi universiti, ahli akademik dan generasi akan datang.

“Malaysia turut boleh berkongsikan pengalaman dalam membangunkan model pendidikan tinggi yang fleksibel termasuk pembelajaran berasaskan pekerjaan (WBL), program stackable serta pendekatan multidisiplin yang menggabungkan pembelajaran di kampus dengan pendedahan kepada industri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin berkata pendidikan transnasional (TNE) akan menjadi antara bidang kerjasama susulan pertemuan itu, melibatkan perkongsian antara universiti di Malaysia dan Kazakhstan dalam sektor seperti pertanian, tenaga dan AI.

“Ini merupakan satu daripada diplomasi antara dua negara, Kazakhstan dengan Malaysia, yang akan dapat memantapkan lagi pengantarabangsaan bagi Kazakhstan dan juga Malaysia.

“Hal ini selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia dengan pengantarabangsaan adalah satu daripada teras yang perlu kita capai dan laksanakan untuk pengantarabangsaan hingga 2035,” katanya.

Novie berkata EMGS akan terus bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan kerjasama berkenaan, termasuk meneroka mekanisme pembiayaan bersama-sama dengan kerajaan Kazakhstan untuk menghantar lebih ramai pelajar negara itu melanjutkan pengajian di Malaysia.

Terdahulu, EMGS serta Kementerian Sains dan Pendidikan Tinggi Republik Kazakhstan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengantarabangsakan pendidikan tinggi serta menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Majlis berlangsung bersempena dengan MAHEF2026 anjuran EMGS yang menghimpunkan pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan tinggi dari Malaysia dan Asia Tengah untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti mobiliti pelajar, pendidikan rentas negara, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemahiran digital.

Zambry kini dalam lawatan rasmi ke Kazakhstan hingga Ahad.