Kunjungan Bersejarah Xi, Lonjak Hubungan China-AS ke Tahap Baharu

Presiden China Xi Jinping dan isterinya Peng Liyuan menghadiri majlis minum teh yang dihoskan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan isterinya Melania Trump di Rumah Putih pada Jumaat waktu tempatan.

Dalam majlis yang berlangsung penuh santai itu Xi berkata, lawatan beliau kali ini telah memperkukuh hubungan China-AS dan kedua-dua pihak juga bersetuju membina hubungan kestabilan strategik yang membina berasaskan “saling menghormati, adil dan saksama”.

Xi juga menyatakan bahawa kedua-dua pihak juga telah mencapai banyak hasil yang memuaskan dalam sektor ekonomi dan perdagangan, dan ia pasti akan disambut baik oleh rakyat di kedua-dua negara dan komuniti antarabangsa.

Kata Xi, masa depan hubungan China-AS adalah cerah, walau bagaimanapun, laluan menuju kejayaan sentiasa berliku serta dipenuhi cabaran.

Tegasnya, beliau bersedia berganding bahu bersama Presiden Trump bagi melakar lembaran baharu yang gemilang dalam sejarah hubungan kedua-dua negara kuasa besar.

Sementara itu, Presiden Trump pula menyifatkan lawatan negara Xi ke AS kali ini sebagai amat “produktif”.

Beliau berkata, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai hubungan AS-China dan isu-isu antarabangsa dan serantau yang penting.

“Kami mencapai banyak hasil positif dan ini bermanfaat bagi kedua-dua negara kita,” kata Trump.

Beliau turut menzahirkan keinginan untuk mengekalkan komunikasi rapat dengan Presiden Xi untuk membimbing perkembangan hubungan AS-China.

Selepas majlis minum teh itu, Xi Jinping dan Peng Liyuan mengunjungi Arkib Negara AS di Washington, D.C., dengan diiringi Trump dan isteri. 

Mereka turut diberi penerangan tentang koleksi utama yang ada di arkib itu.

Xi berkata bahawa arkib menyimpan kebijakan generasi dahulu dan memberi inspirasi untuk masa depan. 

“Dalam tempoh 250 tahun lalu, rakyat AS mengejar Impian Amerika dan membangun negara yang makmur serta tanah yang indah di Amerika Utara. 

“Rakyat China mewariskan tradisi budaya selama 5,000 tahun dan terus mencapai kejayaan baharu dalam perjalanan untuk mewujudkan Impian China ke arah kebangkitan gemilang bangsa China,” kata Xi.

Beliau menyatakan, China dan AS mempunyai keistimewaan masing-masing, walaupun kedua-dua negara mempunyai sejarah, budaya, sistem sosial, dan jalan pembangunan yang berbeza, namun aspirasi rakyat terhadap kehidupan yang lebih baik adalah sama. 

Beliau berkata kedua-dua negara harus menerima dan menghormati perbezaan masing-masing, saling memahami dan belajar, meneroka kepentingan bersama, di samping meningkatkan kerjasama dan mengawal perselisihan dengan baik, dengan itu, hubungan antara kedua-dua negara pasti akan dapat maju ke depan dengan mantap dan jauh.