BAHTERA Pahang Catat Lebih 5,000 Pengunjung – Pengerusi LKIM

TEMERLOH, 27 Sept — Bazar Himpunan Usahawan Pemasar Ikan dan Penternak Akuakultur (BAHTERA) peringkat Pahang di Dataran Temerloh berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 pengunjung, dengan nilai jualan melebihi RM100,000 pada hari pertama program itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata jumlah kehadiran pengunjung telah melepasi sasaran ditetapkan, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan terhadap produk perikanan tempatan.

Beliau berkata program kali pertama yang berlangsung dua hari bermula semalam turut menyediakan platform kepada usahawan kecil dan sederhana dalam sektor perikanan untuk memasarkan produk mereka, khususnya yang berdepan kekangan dari segi lokasi pemasaran.

“Melalui BAHTERA, kita fokus kepada produk perikanan dan menghimpunkan usahawan untuk membantu mereka yang menjalankan perniagaan berskala kecil dengan menyediakan platform pemasaran,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Muhammad Faiz berkata kejayaan penganjuran BAHTERA di Pahang membuka ruang untuk program itu diperluas ke negeri lain bergantung kepada keperluan dan kapasiti usahawan serta lokasi berkenaan.

“Kita mahu menaik taraf BAHTERA menjadi satu program yang benar-benar menjadi kebanggaan LKIM, selain memastikan pembangunan produk hiliran berasaskan perikanan turut diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata Selangor antara negeri yang berkemungkinan menjadi lokasi program berkenaan selepas ini, namun pihaknya perlu mendapatkan data berkaitan usahawan dan menentukan jumlah penyertaan berdasarkan saiz serta kapasiti program.